Bantuan Kewangan RM500 Sebulan Kepada Yang Layak

Perkhidmatan bantuan kewangan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat disediakan kepada kumpulan sasar yang memerlukan supaya dapat meneruskan kelangsungan hidup dengan sempurna.
Secara prinsipnya, di dalam melaksanakan pemberian bantuan kepada rakyat, Kerajaan Malaysia tidak sesekali mengamalkan konsep Negara Kebajikan (Welfare State).
Skim bantuan yang diwujudkan adalah sebagai alat dalam proses menolong klien ke arah pemulihan, pencegahan, pembangunan dan pengintegrasian, yang merupakan satu kaedah dalam kerja sosial. Proses pemberian bantuan kebajikan juga mengambil kira potensi yang ada pada setiap penerima bantuan yang masih produktif ke arah hidup berdikari.

Objektif

  • Memenuhi keperluan asas (basic needs) bagi meringankan beban penerima bantuan
  • Alat sokongan sosial (social support tools) untuk menilai kemampuan penerima bantuan ke arah berdikari dan mengurangkan kebergantungan kepada bantuan
  • Alat pemulihan (rehabilitation tools) agar penerima bantuan terus kekal tinggal bersama komuniti/masyarakat.
  • Sumber kewangan sementara penerima bantuan meneruskan kelangsungan dan kesejahteraan hidup

Bantuan Warga Emas ( BWE )

Kadar yang telah diperuntukkan bagi bantuan ini adalah sebanyak Rm500 sebulan yang mana ianya akan diberikan kepada warga emas miskin tegar (yang memenuhi kriteria kelayakan) untuk meneruskan kelangsungan dan kesejahteraan hidup.

Syarat Kelayakan

1. Warganegara dan bermastautin di Malaysia;
2. Warga emas berumur 60 tahun dan ke atas;
3. Pendapatan Isi Rumah tidak melebihi Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Purata Miskin Isi Rumah Semasa atau PGK Purata
Miskin Per Kapita Semasa; dan
4. Warga emas yang bukan tinggal  di:
i.  Institusi kendalian JKM; atau
ii. Pusat jagaan harian/ berkediaman yang memberi kemudahan / perkhidmatan secara percuma;

Cara Memohon

Pengendalian permohonan bantuan kewangan dibuat di peringkat Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah / Jajahan / Bahagian di seluruh negara. Setiap permohonan yang didaftarkan akan dijalankan siasatan untuk penilaian (means-tested) bagi mengesahkan kelayakan bantuan kepada pemohon. Urusan ini bersesuaian dengan prinsip penyampaian bantuan yang berdasarkan kepada kelayakan dan bukan hak.

Untuk memudahkan urusan pentadbiran, pemohon diminta membawa dokumen sokongan semasa hadir ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah / Jajahan / Bahagian seperti salinan Kad Pengenalan diri pemohon, salinan Kad Pengenalan suami / isteri / ibu / bapa / anak yang tinggal bersama, salinan sijil kelahiran anak-anak / ahli keluarga yang tinggal bersama, salinan penyata gaji (jika ada), dan lain-lain dokumen yang berkaitan.

Bantuan Kebajikan Lain 

Semua permohonan yang dibuat perlu memenuhi kriteria dan kadar pemberian bantuan kebajikan berdasarkan kepada setiap jenis bantuan berikut:

1.Bantuan Kanak-Kanak (BKK);
2.Elaun Pekerja Cacat (EPC);
3.Bantuan OKU Tidak Berupaya Bekerja (BTB);
4.Bantuan Penjagaan OKU Terlantar/ Pesakit Kronik Terlantar (BPT);
5.Bantuan Warga Emas (BWE);
6.Bantuan Am Persekutuan (BA);
7.Bantuan Anak Pelihara (BAP);
8.Bantuan Latihan Perantis (BLP);
9.Bantuan Geran Pelancaran (GP);
10.Bantuan Alat Tiruan/ Alat Sokongan (BAT);

BORANG YANG BERKAITAN

  1. JKM 18 Borang Permohonan Bantuan
  2. JKM 20 Borang Kaji Semula Bantuan

Leave a Comment